Belia tunjang gerakan basmi rasuah

0
335

SHAH ALAM – Belia merupakan paksi kepada usaha membasmi gejala rasuah di negara ini kerana mereka mempunyai daya pemikiran yang kreatif bagi menggerakkan kempen dalam mencegah jenayah terbabit.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha berkata, golongan itu boleh menggunakan minda dan kreativiti mereka untuk menggerakkan kempen membanteras jenayah rasuah dengan pelbagai cara seperti melalui media sosial dan sebagainya.

“Sebagai contoh kalau mereka minat basikal lajak, mereka boleh membawa tema seperti belia benci rasuah ini dalam aktiviti mereka. Tak perlu pun buat program khas. Mereka boleh selitkan tema sahaja kerana orang muda ada satu kreativiti yang kita tak fikir.

“Gejala rasuah perlu ditangani dengan lebih meluas kerana dikhuatiri belia akan turut terlibat sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, jika tidak dibendung, amalan rasuah ini akan dijadikan budaya dan akhirnya menjadi amalan dalam kalangan belia.

“Bagi saya, kita kena suntikkan kesedaran berkaitan bahaya rasuah.

“Kita bimbang kalau tidak dicegah dan ditangani gejala rasuah ini, ia akan menjadi barah dan budaya yang akhirnya menjadi amalan,” ujarnya.

Beliau berkata, antara solusi terbaik bagi memastikan negara berada dalam keadaan sihat, maju dan baik adalah dengan mendidik generasi muda.

Tambahnya, pendidikan tersebut boleh dibuat secara formal iaitu di institut pendidikan mahupun tidak formal seperti pembentukan akhlak, sikap dan sebagainya.

“Saya tak kata kita hanya perlu lahirkan seorang dua anak muda yang hebat. Tetapi kita harus mendidik sebuah generasi muda dari bawah.

“Dan yang paling penting ialah bagaimana kita boleh melahirkan keluarga muda yang berjaya,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here