Kerajaan perlu lebih serius tangani isu integriti, rasuah: Ikram

0
358

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) menggesa kerajaan agar lebih serius dalam menangani isu integriti dan rasuah di semua peringkat kepimpinan sektor awam dan institusi kerajaan.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, Ikram menyokong tindakan berani dan ketegasan mana-mana pemimpin kerajaan untuk menentang sebarang pengaruh politik yang membawa kepada salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam.

Beliau berkata, Ikram turut menggesa agar pelantikan pemimpin kanan sektor awam adalah berdasarkan merit, kewibawaan serta memenuhi kriteria jawatan yang telah ditetapkan.

“Ikram berharap kerajaan mengamalkan ketelusan dan keadilan serta mengikut prosedur yang telah ditetapkan dalam melantik mana-mana pegawai kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Hamid Bador pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti kekal sebagai sebuah pasukan penjaga keamanan dan keutuhan negara sekali gus mendakwa rasuah politik sedang berleluasa.

Abdul Hamid juga dilaporkan menolak dan tidak bersetuju dengan campur tangan politik dalam menentukan kepimpinan PDRM.

Sementara itu, Mohd Parid menegaskan agar ahli politik tidak dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Syarikat-Syarikat berkaitan Kerajaan (GLC).

Katanya, isu pelantikan pengerusi atau ahli lembaga pengarah daripada kalangan ahli politik juga berlaku di universiti awam.

“Suruhanjaya Sekuriti pula telah mengeluarkan panduan agar ahli-ahli politik tidak dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah bagi Syarikat Tersenarai Awam (Public Listed Companies),” katanya.

Justeru katanya, Ikram menggesa agar maruah dan integriti PDRM dikembalikan dan satu suruhanjaya untuk meningkatkan akauntabiliti dan integriti anggota polis ditubuhkan dengan segera untuk menyiasat isu rasuah politik seperti yang disebut oleh Abdul Hamid.

“Sebagai sebuah NGO dakwah, Ikram akan terus memberi teguran dan saranan yang konstruktif kepada pihak kerajaan serta badan yang berwajib bagi menjamin kesejahteraan rakyat serta negara tercinta,” katanya.

Katanya, Ikram juga mengajak rakyat untuk berperanan menegur pemimpin agar memiliki sifat integriti dan menjadikan integriti satu budaya dalam kepimpinan dan masyarakat.

“Dalam hal ini, Ikram komited untuk terus mendidik rakyat agar mampu dan bijak memilih kepimpinan yang integriti dan berwibawa demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri tidak sepatutnya jadi Pengerusi SPP – KPN

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here