Rasuah umpama kanser merebak

0
259

KIAN hari kita sering mendengar pelbagai isu secara langsung dan tidak langsung melibatkan rasuah.

Apa itu rasuah? Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan.

Namun bagi saya, ia dinilai salah dan memudaratkan kestabilan negara.

Ia bermula dengan istilah ‘duit kopi’ dan kemudiannya melebar seperti raksasa yang menelan etika dan moral dalam sistem kemasyarakatan kita.

Setiap hari adanya kes melibatkan rasuah, daripada rakyat marhaen sehingga kepada individu yang duduk di singgahsana kuasa.

Apa yang menyedihkan, walaupun terdapat pelbagai pendekatan yang dilakukan kerajaan dan agensi-agensi terbabit dalam mengekang gejala rasuah, malangnya tiada penghujung kepada yang memberi mahupun mereka yang menerima.

Ketua Perangkawan Malaysia dalam satu sidang media pada November tahun lalu menyatakan bahawa statistik menunjukkan peningkatan bagi kesalahan memberi rasuah meningkat 79 peratus dan diikuti tuntutan palsu sebanyak 35.8 peratus bagi tahun 2019.

Melihat kepada posisi antarabangsa, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh Transparency International bagi tahun 2020 berada di tangga 57 daripada 180 negara.

Presiden Transparency International Malaysia, Dr Muhammad Mohan berkata, posisi Malaysia di tangga ke-57 disebabkan beberapa faktor.

Selain daripada salah guna kuasa, rasuah dalam kalangan penjawat awam termasuklah penangguhan usaha reformasi institusi serta akses terhad terhadap kepentingan umum.

Rasuah ini bukan semata-mata berbentuk wang, ia juga berbentuk perkhidmatan dan barangan.

Rasuah juga tidak terhad kepada jangka waktu, demografi, pangkat dan sebagainya.

Rasuah ini meluas, ia seperti penyakit kanser yang merebak tanpa sempadan.

Pada tahun 1967 iaitu lebih lima dekad yang lalu, kerajaan pada masa itu memperkenalkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dikawal selia oleh seorang menteri yang tidak berportfolio.

Pelbagai undang-undang berkaitan termasuk memperkasa agensi dan keberkesanan pencegahan diajukan pada tahun 1973, 1982 dan 1997.

Pada tahun 2008, BPR dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya yang berfungsi secara bebas, telus dan profesionalnya.

SPRM kini tidak diselia oleh mana-mana menteri dan pelantikan ketuanya perlu melalui Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Selain SPRM, terdapat beberapa pengerak bukan kerajaan seperti Pusat Bagi Memerangi Rasuah dan Kroni (C4) dan pertubuhan antarabangsa seperti Transparency International Malaysia yang membantu mengetengahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di negara kita.

Bagi sebuah negara yang makmur, amanah dan berjaya, rasuah perlu dilayan seiring dengan kesalahan berat, seperti membunuh dan menyeludup dadah.

Kita perlu pastikan tiada siapa yang terlepas dalam memerangi rasuah. Semuanya sama, tiada atas, tiada bawah, undang-undang sama untuk semua. Rasuah terutamanya dalam kalangan ahli politik, penjawat awam dan rasuah korporat terus bermaharajalela di negara ini. Ia seperti tiada penghujungnya.

Mengapa kita masih tidak sedar akan parahnya virus rasuah ini? Sedarkah kita bahawa berbilion ringgit dirompak setiap tahun melalui aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan rasuah?

* Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai ialah Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here