Tidak salah ‘jaga tepi kain’, elak terjerumus amalan rasuah

0
311

KUALA TERENGGANU – Tidak salah sekiranya bersikap ‘menjaga tepi kain orang’ semata-mata untuk memastikan seseorang individu itu tidak terjerumus dengan amalan rasuah.

Setiausaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu, Mohd Syaiful Abdillah Razak berkata, sikap itu sebenarnya diperlukan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata, masyarakat perlu berani menyalurkan maklumat kegiatan tidak sihat itu agar pesalah rasuah dalam kalangan komuniti berjaya dihapuskan.

“Pihak berkuasa harus mengadakan sesi libat urus bersama masyarakat kerana kerjasama orang awam untuk membasmi rasuah adalah penting. Kita tidak boleh menafikan kuasa masyarakat kerana mereka mempunyai pelbagai latar belakang.

“Tapi harus diingat maklumat mengaitkan seseorang itu dengan rasuah perlu berasas dan mempunyai bukti bagi membolehkan tindakan diambil bagi mengelak penganiayaan kepada mana-mana pihak,” katanya kepada Sinar Ahad.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar mereka yang memberi maklumat berhubung rasuah diberikan ganjaran sebagai penghargaan.

“Mungkin ganjaran ini sudah dilaksanakan, namun jumlahnya boleh dikaji semula supaya lebih menarik minat orang,” katanya.

Tambah beliau, rasuah bukan perkara baharu, namun jenayah itu tidak berkesudahan walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, semua pihak perlu berganding bahu membanteras gejala berkenan bermula dengan kesedaran di semua peringkat umur masyarakat.

“Terapkan kesedaran bahaya rasuah dalam silibus setiap mata pelajaran seperti bahasa Melayu, Pendidikan Islam atau Pendidikan Sivik dan Kenegaraan di sekolah. Hal ini perlu diberi penekanan serius sejak sekolah ke peringkat institusi pendidikan tinggi,” kata beliau.

Mohd Syaiful turut mencadangkan agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah rasuah sebagai tauladan kepada masyarakat supaya mereka takut terlibat dengan perbuatan berkenaan.

“Sebagai contoh denda dikenakan perlu gandaan 20 atau 50 daripada nilai suapan diterima. Namun, ia bergantung juga pada kes.

“Bagi kes berprofil tinggi dan memberi ancaman kepada keselamatan negara dan awam pula, hukuman gantung sampai mati perlu dikuatkuasakan. Namun seksyen berkaitan perlu diusulkan dalam Parlimen terlebih dahulu,” katanya.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here