Lindungi pemberi maklumat kes rasuah

0
514

SHAH ALAM – Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4 Center) meminta negara-negara anggota agar memberi perlindungan penuh kepada pemberi maklumat, orang awam dan wartawan yang mendedahkan perihal rasuah.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif C4 Center, Cynthia Gabriel berkata, ia termasuk dalam enam langkah yang digariskan pihaknya pada Sesi Khas Perhimpunan Agung Memerangi Rasuah (UNGASS) secara alam maya yang berakhir pada Jumaat.

Menurutnya, selain memberi perlindungan kepada pemberi maklumat, pihaknya juga meminta negara-negara anggota untuk memperkenalkan daftar awam pemilik syarikat berfaedah (yang mana individu terlibat dengan rasuah tidak boleh bersembunyi di sebalik syarikat rahsia), memastikan badan perundangan dan badan kehakiman bersifat bebas dan mewajibkan penerbitan pengisytiharan aset.

“Pihak C4 Center juga meminta negara-negara anggota bersikap telus terhadap usaha memulihkan dan mengembalikan aset yang dicuri selain turut melaksanakan penguatkuasaan hukuman berat terhadap individu yang terlibat dalam rasuah berskala besar.

“Banyak kes rasuah, konflik kepentingan diri, penyelewengan dan integriti telah melibatkan lebih daripada sebuah negara. Contoh-contoh itu jelas dalam peta dunia dan peringkat global hari ini.

“Penglibatan individu yang berkuasa dan berpengaruh semakin memudahkan berlakunya aktiviti rasuah dan akhirnya mereka berterusan menikmati habuannya,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, pemilihan C4 Center merupakan satu penghormatan bagi negara yang terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘negara bebas rasuah’.

“Walaupun kami agak kecewa kerana tidak ada kata sepakat antara mereka dalam UNGASS ini untuk menyetujui langkah yang akan menghasilkan kemajuan substansial dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.

“Namun, kami bersedia menyokong usaha ini dan bersama mencari penyelesaian untuk mengukuhkan lagi kerangka cegah rasuah di peringkat global,” katanya.

Pada Jumaat, Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volkan Bozkir dalam kenyataan berkata, PBB dijangka mengadakan sesi khas bagi membincangkan cabaran dan langkah mencegah serta memerangi rasuah termasuk memperkukuh kerjasama antarabangsa mulai Rabu hingga 4 Jun.

Volkan berkata, program itu adalah acara susulan yang sesuai dengan resolusi dewan umum dan keputusan dibuat sebelum ini menerusi Sesi Khas Majlis Umum Menentang Rasuah.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa untuk memastikan kelancaran proses dan merealisasikan momentum penerimaan deklarasi serta peserta peringkat tinggi dalam perbahasan umum, saya berhasrat melanjutkan segera perbahasan bagi mengikuti segmen pembukaan,” katanya.

Volkan berkata, semasa sesi khas tersebut, sebanyak 38 acara sampingan maya turut diadakan dalam talian bermula pada Selasa hingga Jumaat.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here