3,300 rakyat Malaysia sertai kempen 100 Juta Langkah Menentang Rasuah

0
232

SHAH ALAM – Kempen 100 Juta Langkah Menentang Rasuah berjaya menerima penyertaan seramai 3,300 rakyat Malaysia dengan merekodkan sebanyak 91.77 juta langkah sebagai simbolik kempen membasmi rasuah sejak dilancarkan pada 14 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Checkpoint Spot Sdn Bhd, Benjamin Yeow berkata, golongan muda yang berumur 20 tahun sehingga 40 tahun yang paling ramai menyertai kempen tersebut yang akan berakhir 30 Jun nanti.

“Setakat ini sudah satu bulan setengah dilaksanakan dan kita akan buka sehingga hujung bulan Jun dan mencatat 91,777,458 langkah sehingga kini.

“Itu penting sebab anak muda kita, konsep dan budaya ini perlu ditanam dari awal. Jadinya apabila kamu mulakan langkah itu sebagai simbol.

“Jadinya satu langkah satu simbol, cuba bayangkan 30 hari untuk mengira langkah, kamu mempunyai niat nak memerangi rasuah, selepas 30 hari tabiat itu akan ditanam dalam hati kita,” katanya ketika Program Sinar Live bertajuk 100 Juta Langkah: Ikrar Tempuh Rasuah pada Jumaat.

Turut bersama program tersebut, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin dan Hos, Hazwan Mokhtar.

Sementara itu, Benjamin berkata, usaha tersebut dilaksanakan dengan aktiviti yang menarik untuk mengajak rakyat menyertai kempen tersebut.

“Usaha membasmi rasuah boleh dilaksanakan dengan menarik sebabnya anti rasuah ini topik tidak glamor tetapi itu bukan sesuatu yang boleh bincang dengan setiap hari.

“Jadinya apabila dilaksanakan macam ini, mungkin orang ramai boleh tertarik dan mengambil langkah pertama untuk melibatkan diri. Jadi sebab itu, kempen itu diperkenalkan,” ujarnya

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep mengira langkah merupakan program pertama dalam dunia yang mudah untuk disertai untuk semua golongan dan peringkat umur.

Kempen tersebut turut membawa pelbagai hadiah menarik dan cabutan bertuah seperti hadiah utama Iphone 12 Pro kepada rakyat yang menyertai kempen itu.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here